Singapura kekal destinasi paling popular pelancongan Muslim

0
140

SINGAPURA mengekalkan kedudukannya sebagai destinasi paling popular dalam pasaran pelancongan Muslim.

Menurut kajian terkini Indeks Pelancongan Muslim MasterCard-CrescentRating (GMTI) 2016, yang meliputi 130 destinasi, Singapura menduduki tempat paling atas dalam senarai destinasi Bukan Negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), dengan Thailand, United Kingdom, Afrika Selatan dan Hongkong dalam kumpulan lima negara teratas.

Hongkong menaiki satu tangga kepada tempat kelima. Taiwan dan Jepun juga masing-masing memperbaki kedudukan – antara 10 negara teratas pada tahun ini.

Malaysia mengekalkan kedudukan sebagai tempat tertinggi bagi destinasi OIC, sementara Amiriah Arab Bersatu (UAE) di tempat kedua dan Indonesia keempat.

Singapura berada di tempat kelapan dalam senarai destinasi gabungan keseluruhan.

Kajian itu juga menunjukkan pada 2015 terdapat 117 juta kedatangan pelawat Muslim di peringkat global – mewakili hampir 10 peratus pasaran pelancongan.

Ia diramal berkembang kepada 168 juta pelawat menjelang 2020.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CresentRating & Halal Trip, Encik Fazal Bahardeen, berkata kajian indeks 2016 itu kini menjadi alat utama bagi destinasi di dunia bagi mendekati pelanggan Muslim.

“Satu trend terbesar yang kami lihat ialah destinasi bukan OIC melakukan usaha gigih menarik pelancong Muslim dan mereka kini mewakili 63 peratus daripada destinasi dalam GMTI.

“Misalnya Jepun dan Filipina telah mengambil langkah utama sejak beberapa bulan lalu mempelbagaikan ketibaan pelancong mereka dan dalam pada itu meningkatkan ekonomi mereka,” katanya.


This article was first published on March 24, 2016.
Go to beritaharian.sg for more stories.

Image: 
Category: 
Publication Date: 
Thursday, March 24, 2016 – 11:34
Send to mobile app: 
Source: 



Story Type: 
Others

Source link