Ikatan masyarakat-pemerintah teras maju

0
254

HUBUNGAN masyarakat Islam dan pemerintah sebagai rakan kongsi telah membolehkan banyak cabaran sukar diatasi dalam pembangunan negara, kata Menteri Perhubungan dan Penerangan yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim.

Perkongsian itu berteraskan penerimaan norma masyarakat berbilang kaum dan agama, bersikap terbuka, bertolak ansur dan menghargai keprihatinan dan hambatan.

Beliau berkongsi pengalaman Singapura itu semasa menekankan perlunya Islam diamalkan mengikut konteks setempat supaya dapat menyumbang kepada pembangunan di samping mengamalkan nilai Islam.

Berucap di Persidangan ‘Islam dalam Dunia Semasa’ anjuran Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam (RSIS) semalam, Dr Yaacob berkata masyarakat Islam seluruh dunia sedang melalui transformasi sosial dan pelbagai isu seperti penyertaan politik, sekularisme, ekstremisme dan hak asasi.

Namun, respons terhadap isu haruslah berteraskan nilai yang telah lama diamalkan seperti saling menghormati, rendah hati dan keterangkuman.

“Di Singapura, kami berusaha mengambil kira realiti kehidupan umat Islam yang membina masa depan mereka dalam masyarakat berbilang budaya dan bangsa yang ditadbir secara sekular,” kata beliau.

Dr Yaacob berkata hubungan masyarakat dan pemerintah yang disemai sepanjang 50 tahun telah membolehkan masyarakat Islam Singapura menjadi sebahagian daripada kemajuan dan sama-sama membina negara.

Beliau memberi contoh pembentukan Akta Pentadbiran Hukum Islam (Amla) yang mengambil kira konteks kedudukan Singapura sehingga terlahir Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), institusi Mufti dan Jawatankuasa Fatwa.

Ia telah membolehkan isu ditangani seperti merobohkan masjid dan surau di kampung semasa proses pembangunan semula bandar, pembinaan masjid baru yang selesa untuk ibadah dan pendidikan, fatwa progresif yang menyuntik kesegaran pada harta wakaf sehingga mencapai nilai $600 juta, dan pembentukan Mahkamah Syariah yang menangani isu perceraian.

Usaha terus dilakukan bagi memastikan warisan perundangan Islam terus relevan dengan realiti di Singapura, kata beliau.

Pendekatan secara damai ke arah mencari titik persamaan telah membantu menyumbang kepada hubungan harmoni di kalangan pelbagai masyarakat di Singapura dan mengukuhkan struktur sosial.

Ia satu proses berterusan yang memerlukan semua pihak berterus terang dan bersikap sopan, kata Dr Yaacob yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber.

Peranan pemerintah ialah mewujudkan sekitaran dengan dasar yang menggalak kesedaran dan rasa hormat terhadap kepelbagaian budaya dan peluang sama rata.

Ia mendorong masyarakat bersatu padu melawan sikap eksklusif yang memperkecil-kecilkan kepercayaan orang lain, sikap prejudis dan stereotaip yang boleh melemahkan perpaduan, tambah beliau.

“Bagi Singapura, sejak merdeka, masyarakat dan pemimpin agama sentiasa mendekati isu dengan tujuan mencari penyelesaian yang bermakna kepada masalah konkrit.

“Masyarakat kita mempunyai tradisi yang berpandukan prinsip kesederhanaan, keterangkuman dan menghormati kepelbagaian, serta mengambil bahagian secara aktif dalam usaha membina negara kita. “Ini adalah cara Singapura. Kita sebagai sebuah masyarakat perlu menghargai dan melindunginya,” kata Dr Yaacob.


This article was first published on April 29, 2016.
Go to beritaharian.sg for more stories.

Image: 
Category: 
Publication Date: 
Friday, April 29, 2016 – 04:00
Send to mobile app: 
Source: 



Story Type: 
Others

Source link